kursus gangguan makhluk halus

Assalamualaikum kepada semua pembaca.. Jumaat pagi tadi saya ada pergi KURSUS RAWATAN GANGGUAN MAKHLUK HALUS yang di buat di Masjid Asy Syakirin, Pekan Tokai. 


Kursus disampaikan oleh Haji Zainol bin Haji Abu yang juga Ketua Biro Pendidikan di Masjid tersebut. Serba sedikit yang saya tahu tentang Haji Zainol ini, beliau pernah menuntut dengan ramai tok guru - tok guru antaranya Tuan Guru Dato' Dr Haron Din ( pengasas Darussyifa'). 


Saya, Ayah dan Mak pun pergi ke kursus ini Perserta yang hadir pun ramai jugak hampir 90 orang. Peserta dari merata tempat Sungai Petani, Alor Setar, dan juga Pendang. Majlis bermula pada pukul 9.00 dan tamat pada pukul 12.15 tengahari.


Sini saya nak kongsi serba-sedikit ilmu yang diperoleh pada hari ini. Harap dimaafkan kalau tunggang-langgang penulisannya.


Apakah itu makhluk halus?

  • di kalangan masyarakat Melayu makhluk halus dikenali sebagai hantu, jembalang, toyol, pelesit, pontianak, hantu raya dan sebagainya.
  • Masyarakat Arab memanggilnya jin, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit, ammar dan sebagainya.
penceramah juga menceritakan serba sedikit pengalaman beliau tentang makluk-makhluk ini. Pelesit ini selalunya belaan orang. Toyol pula kerja mencuri duit. dan mengikut orang yang diberi kelebihan untuk melihat alam jin ini toyol ini warnanya hijau, budak kecil hanya setinggi lutut. Bunian pula makhluk yang mempunyai kerajaan, kampung dan masyarakat seperti manusia.


Adakah makhluk halus itu wujud?


banyak dalil di dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad mengenai kewujudan makhluk itu. Antaranya ialah dalam surah al-Ahqaf :29;



 Maksudnya :- "Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengah kepada yang lain), "Diamlah kamu dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaannya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran".


Bolehkah manusia melihat mereka?


Pada asasnya manusia tidak dapat melihat mereka dalam keadaan rupa bentuk mereka yang asal tetapi mereka dapat melihat manusia. ini berdasarkan ayat berikut (al-'Araf :27)




"Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."


namun manusia boleh melihat mereka apabila mereka menyerupai bentuk tertentu seperti yang disebut dalam surah al-Anfal:48



"Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu". Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: "Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya".


Makhluk halus boleh menyebabkan penyakit??


penyakit fizikal :


makhluk halus memand dengan izin Allah  boleh menyebabkan penyakit fizikal seperti firman Allah mengenai penyakit Nabi Ayub dalam surah Sad:41 ;


"dan (ingatlah peristiwa) hamba kami Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata, "Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan penyakit"


Nabi Ayub AS telah ditimpa penyakit angkara syaitan sehingga baginda disisihkan kaumnya. Allah telah memakbulkan doa baginda dengan menyembuhkannya. Perkataan nusbin membawa maksud penat atau letih yang amat sangat.


rasukan:


“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul (ketika bangkit dari kubur mereka) melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila...”.


apabila berlaku rasukan seseorang itu tidak dapat mengawal dirinya dalam tindakan dan fikiran.


mempengaruhi jiwa dan tindakan:



"Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. (Al-Mujaadalah:19)"


Syaitan dengan izin Allah berupaya mempengaruhi fikiran manusia. Nabi Muhammad dalam hadis beliau telah menerangkan:


"sesungguhnya syaitan mengalir dalam tubuh anak Adam seperti mengalirnya darah"


Pengaruh yang dibawanya adalah pengaruh negatif. Selalu bertentangan dengan perintah Allah dan RasulNya. Kadang-kadang suami isteri boleh bertengkar dengan sebab-sebab yang kecil dan remeh, malah hingga bercerai berai.


sebab-sebab gangguan jin ke atas manusia

  • manusia menceroboh tempat mereka
jin ini banyak yang suka tinggal di busut (menurut pengalaman ustaz). kalau kita musnahkan mungkin dia marah. mungkin kita bakar sampah berhampiran tempat tinggal dia.

  • dendam kerana manusia menyakiti mereka
sebagai contoh kita terpijak dia atau anak-anak dia. kemudian menurut ustaz jin ini suka tinggal di sinki. dia anggap situ macam tempat air terjun dia lah. jadi kalau ingin tuang air panas ke dalam sinki, bacalah 'bismillah'.

  • sihir atau buatan orang

  • saka terbiar

  • memang sikap kezaliman jin yang suka mengganggu-jin samseng


sebab-sebab memudahkan jin menganggu


  • kesedihan yang melampau

  • terkejut
ini kerana ketika terkejut. jiwa manusia ini tidak stabil jadi ini memudahkan mereka mengganggu. sehinggakan ahli zikir pun akan terganggu jika terkejut (menurut pengalaman ustaz merawat pesakit beliau).

  • takut yang melampau

  • keseronokkan yang melampau

sebagai contoh bercamping dalam hutan tapi terover happy.

  • lalai dari zikrullah


jenis-jenis gangguan

  • gangguan biasa (tumpang)
menurut ustaz jin-jin ini suka tinggal dalam tandas, sebab bagi mereka tandas tu wangi. jadi janganlah kita duduk lama-lama dalam tandas tu. kemudian menurut ustaz juga ada jin ini nama jin asyik (kalau tak silap). jin ini suka berkenan dekat orang. jadi di nasihatkan kalau boleh kita jagalah aurat. kalau mandi jangan 'mandi koboi'.

  • gangguan saka (selalunya tinggalan orang dulu)
-saka bomoh
-saka bidan
-saka pada barangan mistik
-saka jaga kampung
-saka dari amalan kebatinan

saka ini selalu orang katakan khadam, atau pendamping. ada macam-macam cara, kaedah jampi, bertapa, malahan dengan ayat al-Quran pun boleh mendapat pendamping. ini semua bergantung kepada niat kita. jika niat kita salah maka salahlah jadinya. contoh kita mengamalkan zikir untuk kuat, untuk kebal tapi bukan kerana Allah maka berkemungkinan kita akan didamping. bukan kita minta, dia datang sendiri.

  • gangguan sihir
-sihir sakit, pemisah, marbuth (kunci nafsu) dan lain-lain
-sihir santau (lepaskan bisa)

antara simptom-simptom santau menurut pengalaman ustaz adalah:
1. batuk tak henti henti
2. panas dada selepas asar
3. tidak boleh tidur malam

jika semua ini ada berkemungkinan, saya ulang, berkemungkinan, dia terkena santau. ia tidak semestinya.

sihir ini boleh dilakukan dengan dua cara
1. dengan bantuan jin
2. tanpa bantuan jin



tanda-tanda gangguan makhluk halus
  • tanda waktu jaga

  1. adakala menggigit lidah
  2. anggota badan terasa kebas tanpa sebab
  3. badan terasa bisa-bisa
  4. batuk berterusan walaupun dirawat doktor
  5. bayi kerap menangis dalam keadaan ketakutan
  6. benci kepada bau wangi terutama bau kasturi dan za'faran
  7. benci rumah, isteri atau suami atau ahli keluarga
  8. bercakap seorang diri dan ketawa tanpa sebab
  9. berjalan terhoyong hayang
  10. cara makan menjijikan
  11. dengar bunyi guli bergolek atau taburan pasir di atas bumbung
  12. denyutan jantung bertambah cepat tanpa sebab
  13. haid melebihi 15 hari (darah istihadah)
  14. kanak-kanak terhalang ke sekolah tanpa sebab yang nyata
  15. kerap keguguran
  16. kerap mendengar sesuatu bisikan
  17. lekas marah walaupun atas perkara yang remeh
  18. lemah ingatan atau lupa yang luar biasa
  19. malas melakukan ibadat, atau seperti ada sesuatu yang menghalang.
  20. mandul yang bukan sebab klinikal
  21. mengantuk bila mendengar al-Quran
  22. merasa seperti ada yang mengekori, terlihat kelibat manusia
  23. merasa sesuatu bergerak di dalam badan atau di bawah kulit
  24. pening yang berterusan yang bukan kerana sakit mata, telinga, hidung, gigi, kerongkong, dan perut
  25. penyakit tidak sembuh walau dirawat dengan cara moden
  26. penyakit tidak dapat dikesan oleh doktor
  27. perangai atau sikap berubah secara mendadak.
  28. rasa lenguh yang luar biasa
  29. rasa malas yang amat sangat dan lemah badan
  30. sakit bila ziarah orang mati
  31. sakit kepala ketika solat atau sakit berpanjangan.
  32. sakit pada waktu yang sama khususnya selepas asar, menjelang maghrib atau malam
  33. sakit pinggang tanpa sebab
  34. sendawa apabila mendengar al-Quran
  35. sayang melampau pada pasangan atau orang lain
  36. sesak nafas selepas asar atau maghrib
  37. suara berubah ketika marah
  38. sedih tanpa sebab
  39. suka berada lama di dalam tandas
  40. sukar mendapat jodoh (terhalang)
  41. tak suka mendengar bacaan al-Quran atau azan
  42. takut mati bersangatan atau rasa macam hampir mati
  43. suka mengabaikan kerja-kerja utama
  44. was-was yang luar biasa.

  • tanda waktu tidur

  1. bercakap ketika tidur atau keluar suara tertentu yang menakutkan atau menyedihkan.
  2. mendengar suara pernafasan di sisi ketika tidur (yang bukan pernafasan pasangan).
  3. mengasah gigi ketika tidur.
  4. mimpi berjalan di atas air atau darah.
  5. mimpi berjalan di tempat kotor atau kubur.
  6. mimpi binatang seperti ular, kala jengking, kucing atau anjing hitam
  7. mimpi melihat manusia yang pelik misal terlalu tinggi, rendah atau terlalu hitam.
  8. mimpi yang benar-benar berlaku
  9. selalu bermimpi jatuh dari tempat tinggi
  10. selalu ditindih ketika tidur
  11. selalu mimpi bersama
  12. selalu mimpi kanak-kanak atau menyusukan mereka.
  13. selalu mimpi keluarga yang sudah meninggal.
  14. selalu mimpi melahirkan anak.
  15. selalu mimpi menakutkan atau menyedihkan.
  16. susah hendak tidur malam.
NOTA:

SEKIRANYA TERDAPAT SEKURANG-KURANGNYA 3 TANDA SEMASA JAGA DAN 2 TANDA SEMASA TIDUR, BERKEMUNGKINAN, BERKEMUNGKINAN, BERKEMUNGKINAN BESAR DISEBABKAN GANGGUAN MAKHLUK HALUS

  • Ruqyah (bacaan-bacaan) asas untuk mengatasi gangguan makhluk halus
  1. al-Fatihah
  2. al-Baqarah 1-5
  3. al-Baqarah 163-164
  4. al-Baqarah 255 (ayatul Kursi)
  5. al-Baqarah 285-286
  6. al-'Araf 54-56
  7. al-Mu'minun 115-118
  8. al-Hasyr 21-24
  9. al-Ikhlas
  10. al-Falaq
  11. An-Nas

menurut ustaz ayat-ayat di atas boleh di amalkan sebagai ayat untuk merawat. Sesungguhnya kuasa mutlak dalam menyembuhkan segala penyakit dan gangguan adalah dengan izin Allah. Kita hanya mampu berdoa. Ayat-ayat di atas hanyalah cara atau kaedah. Selain itu kita juga boleh mengamalkan ayat-ayat di atas sebagai wirid selepas solat. Ustaz juga melarang merawat dengan menzalimi jin di dalam badan dengan cara memicit jari, menggunakan lada atau menggunakan cuka. Ustaz memberitahu kaedah yang digunakan hanyalah dengan membaca di telinga kanan pesakit.

Alhamdulillah akhir sekali semua perserta di ijazahkan dengan Kursus Rawatan Asas Gangguan Makhluk Halus.

Kursus ini sangat best dan bermanfaat kerana kita boleh menambah diri kita dengan pelbagai ilmu lain. dan reaksi yang diperolehi daripada para perserta juga positif. Dan saya berharap agar diadkan kursus lanjutan bagi subjek ini.

nota : hampir keseluruhan daripada isi dalam entri ini saya tulis berdasarkan modul dan juga ceramah al-fadhil ustaz. moga kita akan mendapat manfaat walaupun sedikit daripada entri ini. saya minta maaf jika tidak dapat menceritakan dengan baik. aku bukanlah arif dalam hal-hal begini. ini adalah yang pertama dan dengan niat ingin berkongsi.


yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk datangnya dari kelemahan diri saya sendiri.
sekian. wasalam

2 comments:

syarifahsidrus said...

semua berlaku dengan izin allah, kita kena percaya benda ni, tapi tak boleh terlalu taksub kan

aiman said...

semuanya dengan Izin Allah.. tak perlu taksub.. tp kena percaya.. sebab ianya ada..